Sunday, November 18, 2012

Antara Jenis-Jenis Kelompok Hantu Yang Selalu Kita Dengar...


Antara jenis-jenis kelompok hantu-hantu ini adalah

Pontianak/ Puntianak/ Kuntilanak
Puntianak atau lebih popular dieja sebagai pontianak, dipercayai oleh masyarakat Melayu bahawa ia berasal daripada perempuan yang mati ketika mengandungkan anaknya.

Polong
Hantu Polong merujuk kepada semangat atau makhluk halus belaan yang dipelihara oleh seseorang, biasanya lelaki, bertujuan untuk tujuan memudaratkan musuh. Hantu polong dipercayai diberi makan darah dari jari tuannya.

Toyol
Toyol merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/syaitan, yang dipelihara bagi tujuan mencuri. Toyol ini dikatakan berbentuk kanak-kanak kecil dan turut mempunyai perangai seperti kanak-kanak kecil.

Pelesit
Pelesit merujuk kepada sejenis makhluk halus, kemungkinannya dari golongan jin/shaitan, yang dipelihara oleh seseorang, biasanya wanita, bagi tujuan memudaratkan musuh. Hantu pelesit dipercayai diberi makan darah dari jari tangan tuannya.

Hantu Air/ Hantu Laut
Hantu air (juga termasuk Hantu laut) merupakan sejenis makhluk halus digelar mambang atau jin yang terdapat di dalam kawasan berair. Makhluk ini dianggap agak keras dan mampu membahayakan mereka yang bertembung dengannya. Kebiasaannya ia dikatakan terapung-apung seperti batang kayu buruk, tetapi mampu melumpuhkan mereka yang tersentuh dengannya.

Hantu Raya
Hantu Raya akan dikawal oleh pemiliknya yang boleh menyuruhnya melakukan apa-apa juga jenis kerja berat. Hantu Raya juga boleh disuruh oleh tuannya bagi merasuk seseorang. Hantu raya mempunyai keupayaan menjelma sebagai manusia biasa atau haiwan lain, dan biasanya Hantu Raya akan menjelma sebagai tuannya.

Hantu Bungkus/ Pocong/ Hantu Punjut
Hantu bungkus atau juga dikenali sebagai hantu punjut atau hantu pocong merujuk kepada sejenis makhluk yang berbentuk seperti mayat yang dibungkus dengan kain kafan.Hantu bungkus sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat, dan akan bergerak dengan meloncat seperti hantu cina, atau bergolek. Ia dikatakan mampu bergerak sepantas kereta, bergerak seiring dengan kereta yang dipandu oleh mangsa usikan mereka

Langsuir
Langsuir adalah sejenis makhluk halus penghisap darah dalam kepercayaan masyarakat Melayu. Langsuir dipercayai akan merasuk mangsa dan menghisap darah mangsa secara perlahan-lahan sehingga mati.Terdapat sesetengah pendapat bahawa Langsuir berasal daripada wanita yang mati bersalin atau selepas itu. Langsuir dipercayai mampu menyerupai seorang perempuan yang cantik dan mengoda lelaki agar mengikuti mereka ketempat sunyi. Apabila sampai ketempat yang sunyi, langsuir akan berubah kembali kepada rupa asal dan akan merobek perut mangsa atau mencekik leher mangsa dan menghisap darah mereka.

Bota
Sejenis gergasi yang wujud di sini. Bota ialah sejenis gergasi besar yang hidup dalam tanah, menyembunyikan diri dalam gua di dalam tanah. Bota akan keluar daripada tempat persembunyian pada ketika-ketika tertentu sahaja dan amat meminati kanak-kanak yang tidak memakai seluar.

Bajang
Bajang merupakan makhluk setan yang dipuja daripada mayat bayi yang mati semasa lahir. Ia merupakan setan jantan yang sering kali menjelma sebagai kucing pole cat. Bajang seringkali menyerang kanak-kanak dan mampu menyebabkan penyakit misteri yang boleh membawa maut kepada mangsanya.

Bunian
Mereka dikatakan wujud dalam masyarakat besar, menyerupai struktur sosial manusia, mempunyai keluarga, puak, dan struktur masyarakat. Orang Bunian dikatakan mendiami kawasan hutan belantara, jauh dari perhubungan manusia, tetapi ada juga yang tinggal berdekatan dengan manusia malah berkongsi rumah dengan keluarga manusia. Sesetengah masalah kerasukan dikatakan berpunca dari orang bunian.

Hantu Jepun
Hantu Jepun merujuk kepada sebarang bayangan atau makhluk yang berpakaian seperti tenteraJepun. Selalunya ia dikaitkan dengan tempat-tempat di mana pernah dijadikan markas tentera semasa Perang Dunia II, semasa Jepun menawan Malaysia Selalunya ia dilihat sama ada bersenjatakan senapang atau pedang, tanpa berkepala atau kepalanya dipangku bersama-samanya.

Hantu Bukit
Hantu bukit merujuk kepada sejenis makhluk yang berkeliaran dikawasan bukit. Hantu bukit sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat.Hantu ini tinggal di bukit dan sekiranya seseorang dari kaum Semai bermimpi melihatnya, dia harus menjadi Halak (Dukun)

Hantu Kubur
Hantu kubur merujuk kepada sejenis makhluk yang berkeliaran dikawasan perkuburan. Hantu kubur amat ditakuti dikalangan orang-orang asli kerana mampu menyebarkan penyakit. Ini adalah antara sebab orang asli berpindah randah sekiranya berlaku kematian. Malah ia ditakuti oleh puak asli Kubu (Indonesia) dan Jakun (Malaysia) walaupun mereka dipisahkan oleh selat Melaka.

Pari-pari
Pari-pari merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/shaitan, yang terdapat dalam hutan. Pari-pari biasanya digambarkan sebagai berbentuk seperti manusia, dan mempunyai masyarat tersendiri. Pari-pari dikatakan tidak dipelihara oleh manusia dan dikatakan hidup bebas. Asal mereka tidak jelas dalam cerita rakyat, dengan pelbagai kelakuan, dan bentuk shaitan, atau spesies yang bebas sepenuhnya dari manusia atau malaikat.

Jerangkung
Jerangkung merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/shaitan, yang dipelihara bagi tujuan menginiaya orang lain. Pemeliharaan makhluk halus seperti ini turut dikenali sebagai saka.

Hantu Galah
Ia dikatakan berbentuk manusia tetapi bersaiz besar dan amat tinggi sehingga kepalanya dikatakan menyapu awan. Ia sering kali ditemui jauh di dalam hutan dan biasanya hanya kakinya yang kelihatan. Mereka yang diusiknya dikatakan sering menyangka kakinya sebagai batang pokok. Kakinya dikatakan berbulu panjang dan hanya mangsa hanya terserempak pada waktu malam apabila sering bersandar atau memegang kakinya, atau ketika melalui celah kangkangnya.

Jin Tanah
Jin Tanah biasanya menjaga sesuatu kawasan tanah dan akan menganggu mereka yang membuka tanah baru untuk berhuma. Untuk mengelakkan gangguan Jin Tanah, biasanya upacara pembukaan tanah baru akan di adakan. Biasanya makanan yang disediakan dikenali sebagai acak / sajian termasuk telur, ayam panggang, pulut kuning dan sebagainya. Sekiranya tidak, Jin Tanah akan mengganggu mereka yang meneroka kawasan tanah baru tersebut.

Hantu Keramat
Hantu Keramat dikatakan akan berada di sesuatu tempat tertentu dan mampu membantu mereka yang datang membuat permintaan dari mereka. Hantu keramat biasanya dikaitkan dengan batu besar, pokok besar atau sesuatu kawasan seperti dipersimpangan. Keramat dipercayai akan mengkabulkan permintaan seseorang yang memberikan persembahan kepada mereka. Contohnya, dengan mempersembahkan sebiji telur, seseorang itu mampu menang loteri untuk membeli rumah besar.

Hantu Kum-Kum
Asal hantu kum-kum dikatakan bermula dengan seorang wanita yang mengamalkan ilmu mencantikkan muka. Tetapi salah satu pantangnya merupakan dia tidak boleh melihat cermin selama 10 hari / sesetengah cerita menyatakan sebulan.Semenjak hari itu semua orang memuji-muji kejelitaan wanita itu dan menyebabkan dia tidak sabar dan melihat wajahnya di cermin pada hari terakhir. Akibatnya mukanya menjadi buruk, dan setelah dia menemui kembali gurunya, dia diberitahu bahawa mukanya hanya akan kembali cantik setelah dia menyapu mukanya dengan darah XX perawan. Disebabkan itu wanita itu merayau-rayau mengetuk pintu rumah bagi mencari mangsa sambil menyatakan “Kum-Kum” sambil mengenakan jilbab.

Orang Minyak
Orang minyak merujuk kepada seseorang yang menuntut ilmu batin bagi tujuan menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa bagi tujuan mencuri/membuat onar. Salah satu cerita mengatakan orang minyak ini telah tersalah menuntut, menyebabkan dia menjadi hitam dan hanya akan pulih selepas memperkosa 40 orang gadis. Mangsa akan menjadi terpukau dan ditanda dengan dipangkah pada mukanya selepas dinodai

Puaka
Hantu Puaka merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/syaitan, yang dikatakan sering berkeliaran bersama-sama cuaca buruk. Hantu puaka dipercayai sering mengikuti fenomena alam dan mendatangkan kerosakan kepada harta benda.

Penanggalan/ Hantu Tenggelong
Hantu Penanggalan atau juga dikenali sebagai hantu tengelong di negeri Kedah atau Balan-balan di Sabah, merujuk kepada seseorang, biasanya wanita, yang menuntut ilmu hitam bagi sesuatu kepentingan. Mereka yang menuntut ilmu ini mampu menceraikan kepala dengan badan mereka dan kepala mereka mampu terbang dengan tali perut terurai-urai. Darah yang menitik dari tali perut mereka dipercayai berbisa dan akan menyebabkan kudis kepada mereka yang terkena
Hantu Bidai
Hantu Bidai atau juga dikenali sebagai hantu balong bidai merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/shaitan, yang suka menganggu manusia. Kononnya hantu bidai merupakan semangat jahat yang tinggal dalam air. Hantu bidai mampu menyerupai tikar, dan akan menggulung dan melemaskan mangsa.

Hantu Tetek/ Hantu Kopek
Hantu Kopek merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/shaitan, yang suka menganggu manusia. Kononnya hantu kopek berbentuk seorang wanita yang tua yang suka menyorokkan kanak-kanak kecil yang suka bermain-main di luar rumah semasa waktu maghrib dan malam-malam, dengan cara menyembunyikan mereka di bawah kopek (buah dada) mereka.

Harimau Jadian
Harimau jadian dalam budaya Melayu, merujuk kepada sejenis ilmu yang membolehkan penuntutnya bertukar menjadi harimau apabila dikehendaki. Ia dikatakan dibantu oleh golongan jin atau syaitan, yang dipelihara bagi tujuan membantu tuannya mempertahankan diri dan juga bagi memudaratkan musuh.Harimau jadian biasanya perlu dibuang sebelum meninggal, dan sekiranya tidak dibuangkan, penuntut ilmu itu akan sukar meninggal dunia.

Jembalang Tanah
Jembalang tanah merujuk kepada semangat atau makhluk halus yang terdapat dikawasan hutan dara. Jembalang tanah dikatakan berasal daripada urin atau tali pusat bayi yang ditanam di kawasan hutan. Jembalang tanah dikatakan akan mengganas sekiranya kawasan mereka diterokai, oleh itu setiap kali sebidang tanah baru dibuka, persembahan makanan yang dikenali sebagai acak akan diletakkan dikawasan tersebut bagi mengelakkan jembalang tanah mengamuk dan mendatangkan kemudaratan kepada peneroka tersebut.

Tulisan ini bukan hendak mengajak untuk mempercayai akan hal ini, perkara ini jelas haram disisi Islam, artikel ini hanya untuk membongkar kepercayaan kaum Melayu terhadap makhluk halus

No comments:

Post a Comment